Saturday, January 30, 2010

Harta Sepencarian: Konsep dan Amalan

Harta Sepencarian : Konsep dan Amalan

Perjanjian Harta Sepencarian
Pendahuluan

Pada dasarnya, konsep harta sepencarian tidak dibincangkan secara khusus oleh para ulama’. Malah tidak ada sebarang dalil nas yang jelas berkaitannya. Namun para ulama’ telah memberi pelbagai pandangan dalam membicarakan tentang harta sepencarian. Ada yang menyebut ia sebagai “Mata’ al-Bayt” iaitu perkakasan rumah dan ada yang menyebut sebagai “Mal al-Zawjayn” yang bermaksud harta suami isteri.

Apa yang jelas, harta sepencarian tidak boleh dianggap sebagai satu aqad perkongsian (al-Syarikah). Ini kerana harta sepencarian dikuatkuasakan melalui perkongsian hasil suami dan isteri. Walaupun ketika aqad nikah wujud satu bentuk aqad, namun ia tidak boleh dianggap aqad bagi kontrak secara langsung menimbulkan harta sepencarian. Ini kerana, ijab dan qabul tersebut hanyalah bertujuan menghalalkan satu pergaulan antara suami dan isteri sahaja.

Harta Sepencarian: Adat Melayu

Jika dilihat sejarah lampau, harta sepencarian telahpun dianggap sebagai satu bentuk adat dalam masyarakat Melayu. Menurut Adat Pepatih, ia disebut sebagai ”carian laki bini”. Misalnya dalam kes Hasmah lwn Jalil, telah diputuskan bahawa harta carian laki bini hendaklah dibahagikan dua antara suami dan isteri apabila berlaku perceraian. Malah jika diamati, sebelum pindaan Perkara 121(1A), kebanyakan keputusan para hakim Inggeris berkaitan harta sepencarian lebih cenderung merujuk kepada pemakaian adat setempat orang Melayu.

Dalam kes Robert lwn Boto’, diputuskan bahawa harta yang menjadi pertikaian dianggap sebagai harta sepencarian dan mahkamah akan membahagikan setiap setengah bahagian jika pihak-pihak bersetuju. Ini adalah berdasarkan kepada anggapan bahawa ia adalah satu adat dan bukannya hukum syarak.

Harta Sepencarian: Hukum Syarak

Persoalannya kini, adakah harta sepencarian itu diktiraf oleh hukum syarak? Sepertimana disebut sebelum ini, meskipun harta sepencarian tidak dijelaskan oleh apa-apa dalil nas, namun ulama’ masih lagi memperakuinya berdasarkan konsep uruf (adat) dan maslahah setempat. Ini mengambilkira soal keadilan kedua-dua pihak selaras firman Allah s.w.t dalam Surah An-Nur Ayat 32 menyatakan “orang –orang lelaki beroleh bahagian daripada usahanya dan orang-orang perempuan beroleh bahagian daripada usahanya juga”. Maka apabila sesuatu uruf itu diperakui baik dan sesuai oleh undang-undang kedudukannya, maka ia akan menjadi peraturan yang perlu dipatuhi. Malah ia selaras dengan kaedah fiqh antaranya ialah ”adat yang diakui sebagai hukum” dan juga ”uruf itu diiktibarkan oleh syarak”.

Oleh itu, kini hata sepencarian telahpun dianggap sebahagian daripada undang-undang Islam. Malah Mahkamah Syariah telahpun diberi bidangkuasa khusus dan eksklusif bagi membicarakannya. Ia juga telah diperuntukan dalam semua Enakmen Pentadbiran Keluarga Islam di setiap negeri dan juga dalam Arahan Amalan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM). Misalnya dibawah Seksyen 2 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 “harta sepencarian” ditafsirkan sebagai harta yang diperolehi bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuat kuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum Syarak.

Berdasarkan takrif yang diperuntukan, bolehlah difahami bahawa harta sepencarian termasuklah harta samada harta alih atau tidak alih yang diperoleh suami dan isteri melalui usaha mereka bersama dan bukannya daripada satu pihak sahaja semasa perkahwinan. Harta yang dikumpul selepas perceraian atau kematian tidaklah boleh dianggap sebagai harta sepencarian.

Harta Sepencarian: Sumbangan tidak langsung

Namun kini, konsep harta sepencarian telah mula diluaskan termasuk juga harta yang diperoleh suami melalui usahanya sendiri semasa perkahwinan dengan sumbangan secara tidak langsung daripada isteri. Sumbangan tidak langsung bermaksud suatu usaha yang disumbangkan oleh mana-mana pasangan dalam mendapatkan harta itu di mana usaha yang disumbangkan adalah kecil berbanding dengan hasil atau manfaat sumbangan itu yang menghasilkan sesuatu harta yang besar. Ini bermaksud, salah satu pasangan memberi sumbangan secara tidak langsung samaada melalui idea, dorongan, nasihat, keselesaan, ketenteraman dan sebagainya kepada pasangan satu lagi yang berusaha dan berjaya dalam mendapatkan harta itu.

Dalam kes Tengku Anum Zaharah, mahkamah memutuskan bahawa harta yang menjadi pertikaian ialah harta sepencarian hasil daripada sumbangan tidak langsung isteri yang berketurunan berpengaruh. Kesan pengaruh isteri membolehkan suaminya mendapat gelaran Dato’ dan berjaya memajukan perniagaannya.

Tuntutan Harta Sepencarian

Bagi tuntutan harta sepencarian di Mahkamah Syariah, ia boleh dilaksanakan dalam tiga keadaan iaitu tuntutan selepas perceraian, tuntutan semasa perkahwinan dan juga tuntutan selepas kematian. Bagi tuntutan selepas perceraian, Seksyen 122 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003 misalnya memperuntukkan bahawa mahkamah mempunyai bidang kuasa untuk memerintahkan pembahagian harta sepencarian apabila mahkamah itu membenarkan lafaz cerai atau perintah perceraian. Oleh itu, mahkamah hanya berbidangkuasa membicarakan kes harta sepencarian di mahkamah di negeri di mana perceraian berlaku dan didaftarkan. Tuntutan harta sepencarian juga boleh dibuat semasa tempoh perkahwinan.

Seksyen 23(10)(b) memperuntukan bahawa isteri boleh memohon perintah daripada mahkamah supaya diadakan terlebih dahulu pembahagian harta sepencarian sebelum permohonan poligami disahkan. Malah Seksyen 119(11) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Sembilan 2003 menyebut bahawa sebelum Mahkamah mengesahkan keluar agama, satu perintah untuk membahagikan harta sepencarian hendaklah dilaksanakan. Kedua-dua peruntukan tersebut berkaitan dengan permohonan poligami dan juga keluar agama Islam.

Bagi tuntutan selepas kematian, meskipun tiada peruntukan khusus yang membolehkan mahkamah membahagikan harta sepencarian sekiranya akibat kematian, namun fatwa negeri Selangor menjelaskan bahawa jika berlaku kematian, maka pihak yang hidup boleh memohon pengisytiharan harta sepencarian sebelum harta itu menjadi harta pusaka. Jadi pihak itu perlu membuktikan bahawa sebahagian harta itu adalah harta sepencarian.


Penyelesaian

Kaedah penyelesaian apabila melibatkan harta sepencarian ialah melalui kaedah sulh iaitu dengan cara berdamai samada melalui pengakuan dan penyerahan hak pemilikan kepada satu pihak lagi atau nilai harta yang dipersetujui dibahagi mengikut persetujuan. Persetujuan ini boleh dibuat samaada di luar mahkamah atau di hadapan pegawai sulh dan kemudian ianya akan diendors sebagai satu perintah oleh mahkamah. Kaedah lain adalah melalui persetujuan semasa perbicaraan sedang berlangsung.

Hakim kebiasaannya akan memberi peluang kepada kdua-dua pihak untuk mencapai persetujuan bersama. Maka persetujuan ini akan diendors sebagai satu perintah Mahkamah. Sekiranya kedua-dua kaedah tersebut tidak dapat menyelesaikan pertikaian, maka mahkamah akan meneliti setiap keterangan dan penghujahan pihak-pihak. Seterusnya mahkamah akan memutuskan pembahagian harta sepencarian tersebut melalui perintah mahkamah.

Sumber: Laman Web Jabatan Kehakiman Syariah Pulau Pinang

harta sepencarian
Perancang Harta Islam
Untuk membuat Wasiat dan Deklarasi Harta Sepencarian, sila hubungi:

Abd Rahaman Rasid (013 366 1242)
abdrahaman@gmail.com
Perancang Harta Islam
as-Salihin Trustee Berhad
Internet Wealth Report

Keterangan Harta Sepencarian Peserta Felda

Keterangan Harta Sepencarian Peserta Felda

harta sepencarian
1. Apakah yang dmaksudkan dengan harta sepencarian?

Harta sepencarian ialah mana-mana harta sama ada harta alih (harta yang boleh dipindahkan seperti wang ringgit, kenderaan dan peralatan rumah) atau harta tidak alih (harta yang tidak boleh dipindahkan seperti tanah dan rumah) yang diperolehi oleh suami isteri selama perkahwinan mereka. Dalam konteks Felda, harta sepencarian meliputi:-

(i) Tanah Ladang
(ii) Tanah tapak rumah
(iii) Rumah
(iv) Harta-harta lain yang dibahagikan mengikut ketetapan mahkamah syariah negeri-negeri berkenaan.


2. Apakah syarat yang melayakkan seorang janda peneroka berhak mendapat harta sepencarian?

i) Janda peneroka yang layak menuntut harta sepencarian ialah mereka yang sama-sama masuk dan tinggal bersama suami di rancangan sehingga berlaku perceraian.

ii) Pada masa perceraian berlaku, rancangannya sudah mengeluarkan hasil/sistem blok dan peneroka telah mula melaksanakan Bayaran Memiliki Harta (BMH) kepada Felda atau;

iii) Pada masa perceraian berlaku, peneroka telah selesai membayar BMH kepada Felda dan menerima surat Hakmilik tanah.


3. Bagaimanakah pembahagian harta sepencarian dikira?

Kadar pembahagian harga sepencarian kepada janda peneroka bagi rancangan yang berhasil/sistem blok tetapi belum selesai BMH adalah berasaskan 50% daripada BMH yang telah dijelaskan kepada Felda. Kadar harta sepencarian kepada janda peneroka bagi rancangan yang telah selesai BMH adalah berasaskan kepada 1/3 daripada nilai tanah ladang, kawasan tapak rumah dan rumah peneroka.

Bayaran harta sepencarian akan terus dibayar walaupun isteri yang telah diceraikan oleh peneroka telah berkahwin semula. Sekiranya janda peneroka meningal dunia dan bayaran harta sepencarian oleh peneroka masih belum diselesaikan, anak mereka berhak menerima baki harta sepencarian tersebut.


4. Bagaimanakah proses untuk mendapat harta sepencarian oleh janda peneroka?

Permohonan untuk mendapatkan harta sepencarian dibuat oleh janda peneroka dengan mengisi Borang Tuntutan Harta Sepencarian yang boleh di dapati di rancangan. Permohonan hendaklah disokong oleh Ketua Peneroka rancangan berkenaan sebelum dimajukan kepada Pengurus Rancangan. Pengurus Rancangan akan mengesahkan kebenaran tuntutan tersebut dan seterusnya memajukan ke Pejabat Kawasan. Setelah disokong oleh Pengarah Kawasan, borang berkenaan dimajukan pula ke Jabatan Tanah Ibu Pejabat untuk tindakan selanjutnya. Pemohon yang berjaya akan dimaklumkan.


5. Setelah berlaku perceraian apakah hak janda peneroka ke atas lot ladang (Hakmilik)?

a. Janda peneroka yang diceraikan berhak menuntut Hakmilik tanah bekas suaminya samada dalam bentuk nilai wang ataupun dimasukkan nama sebagai Hakmilik Bersama atas kadar ½ bahagian. Tuntutan ini adalah tertakluk kepada keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Syariah. Proses ini adalah bagi Hakmilik tanah yang telah didaftarkan.

b. Janda peneroka yang Hakmilik masih belum didaftarkan masih juga berhak untuk dimasukkan nama sebagai Hakmilik Bersama yang akan didaftarkan kelak tertakluk kepada keputusan Mahkamah Syariah.

6. Bolehkah janda membuat tuntutan nafkah daripada bekas suaminya?

Tuntutan nafkah edah dan nafkah anak-anak dalam jagaan seseorang janda peneroka dibuat oleh janda berkenaan di Pejabat Kadi Daerah yang berhampiran dengan rancangan bekas suaminya. Tuntutan ini tidak boleh dibuat melalui Felda kerana ianya di luar bidang kuasa pentadbiran Felda. Walau bagaimanapun Felda masih boleh membantu dalam urusan ini.

7. Adakah janda peneroka masih lagi berhak menerima bayaran harta sepencarian sebagaimana yang telah diputuskan oleh Mahkamah sekiranya bekas suaminya meninggal dunia sebelum selesai bayaran tersebut dibuat?

Sekiranya bekas suami mati sebelum selesai bayaran Harta Sepencarian yang ditetapkan oleh Mahkamah, waris yang mewarisi Hakmilik tanah tersebut adalah bertanggungjawab menyelesaikan pembayarannya sehingga selesai.


8.Adakah janda peneroka berhak menuntut Harta Sepencarian setelah bekas suaminya meninggal dunia?

Sekiranya janda peneroka belum membuat tuntutan harta sepencarian sedangkan bekas suaminya pula telah meninggal dunia, maka ia masih berhak menuntut harta sepencarian tersebut di Mahkamah.

Adalah dinasihatkan supaya janda-janda peneroka supaya membuat tuntutan harta sepencarian sebaik sahaja berlaku perceraian.

Perancang Harta Islam

Untuk membuat wasiat dan deklarasi harta sepencarian, sila hubungi:
Abd Rahaman Rasid (013-366-1242)
Email: abdrahaman@gmail.com
Perancang Harta Islam
as-Salihin Trustee Berhad

Internet Wealth Report

Monday, January 18, 2010

Kes Tuntutan Harta Sepencarian Tanah Felda dan Rumah Kediaman

Kes Mahkamah Hanipah binti Mohd Nor Lawan Baharom bin Aman

Hartasepencarian
Deklarasi Harta Sepencarian
Baharom dan Hanipah adalah pasangan suami-isteri yang telah mendirikan rumah tangga pada 1969 dan bercerai pada 2003. Pasangan tersebut adalah peneroka Felda, Bukit Senggeh, Melaka.

Selepas bercerai Puan Hanipah (plaintif) iaitu janda Baharom (defendan) telah membawa kes mereka ke Mahkamah bagi mengistiharkan tanah teroka Felda dan rumah kediaman mereka adalah harta sepencarian.

Harta yang dituntut oleh Puan Hanipah adalah seperti berikut:

(i) Sebidang hartanah di Mukim Nyalas, Daerah Jasin Melaka seluas 10.4 ekar

(ii) Sebidang hartanah di Mukim Nyalas, Daerah Jasin Melaka seluas 12,087 kaki persegi bersama sebuah rumah yang di bina semula oleh Plaintif sebanyak RM50,000 dari rumah asal FELDA.

Disamping menuntut tanah-tanah di atas sebagai harta sepencarian, Hanipah juga menuntut supaya kadar pembahagian harta sepencarian ialah 50:50.

Mahkamah telah membuat keputusan iaitu kedua-dua harta di atas adalah harta sepencarian dan harta itu dibahagi samarata antara isteri dan suami.

Mahkamah telah mengambil kira fakta-fakta berikut dalam membuat keputusan di atas, iaitu:

1. Pihak Plaintif telah membuat rayuan kepada FELDA sehingga FELDA memberi persetujuan menempatkan mereka sebagai anggota peneroka FELDA dan seterusnya berusaha bersama memajukan tanah FELDA tersebut.

2. Plaintif mengerjakan tanah-tanah tersebut bersama-sama anak-anak.

3. Plaintif adalah seorang guru Tadika dan beliau telah mengerjakan tanah tersebut sekembalinya ke rumah jam 2 petang. Kemudian di sebelah petangnya beliau akan ke kebun mengusahakannya dan akan kembali ke rumah apabila waktu asar.

4. Plaintif telah menyumbang usaha dan tenaga secara langsung dalam memperolehi tanah ini, seterusnya mengusahakannya serta telah mendidik anak-anak sehingga anak-anak berjaya melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi.

5. Mahkamah dapati bahawa rumah dan tanah itu telah diduduki sejak mereka mula melangkah ke FELDA bersama suami sejak 1974 lagi. Ini bermakna di rumah mereka itulah mereka berteduh dan mendiami dan telah hidup sebagai pasangan suami isteri.

6. Mahkamah dapati Plaintif ada menyumbangkan tenaga dan wang ringgit untuk membesarkan rumah tersebut, iaitu dengan mengumpulkan wang ringgit hasil daripada gaji yang diterima oleh Plaintif untuk membesarkan rumah itu. Di samping itu juga segala hasil-hasil jualan getah dan kelapa sawit dikumpulkan untuk membesarkan rumah tersebut.


Nota:

1. Mengikut tafsiran Harta Sepencarian di dalam Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Melaka 2002. Harta Sepencarian ialah harta yang diperolehi bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuat kuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum syarak.

2. Peruntukan Seksyen 122 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Melaka, jika dibaca bersama dengan tafsiran harta sepencarian di atas membawa maksud harta sepencarian tersebut boleh wujud dalam tiga keadaan.

Pertama: Harta yang diperolehi bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan dengan usaha bersama mereka.

Kedua: Harta yang diperolehi bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan dengan usaha tunggal satu pihak kepada perkahwinan itu.

Ketiga: Harta-harta yang dipunyai oleh satu pihak sebelum perkahwinan yang telah dimajukan kepada sebahagian besarnya dalam masa perkahwinan oleh pihak yang satu lagi itu atau dengan usaha bersama suami isteri.

harta sepencarian
Perancang Harta Islam
Untuk nasihat lanjut sila hubungi:
Abd Rahaman Rasid (013-366-1242)
abdrahaman@gmail.com
Perancang Harta Islam
as-Salihin Trustee Berhad

Tuesday, January 12, 2010

Harta Sepencarian As-Salihin - OnToplist.com

-->


Harta Sepencarian As-Salihin - OnToplist.com

Posted using ShareThis

Untuk nasihat lanjut sila hubungi:
Abd Rahaman Rasid (013-366-1242)
Email: abdrahaman@gmail.com
Perancang Harta Islam
as-Salihin Trustee Berhad

Sunday, January 10, 2010

Bagaimana Dokumen Harta Sepencarian Disediakan?

harta sepencarian
Tuntutan Harta Sepencarian
Bagaimana Dokumen Harta Sepencarian Disediakan?
Oleh: Mansid, CFP

1. Isu

Kita boleh membaca artikel, berita, laman web dan blog yang membicarakan tentang subjek harta sepencarian. Tetapi kita jarang berjumpa bagaimana dokumen harta sepencarian disediakan.

Tulisan saya ini menerangkan secara ringkas bagaimana dokumen harta sepencarian disediakan semoga hak-hak harta sepencarian dapat dilaksanakan dengan jayanya kemudian hari oleh si penuntut harta sepencarian, terutamanya kes tuntutan harta sepencarian dibawa ke mahkamah.

Fokus pembaca tulisan saya ini ialah isteri-isteri kerana mereka inila yang kerap menjadi mangsa kepada tuntutan harta sepencarian, walaupun pada hakikatnya harta sepencarian adalah hak suami dan isteri.

2. Dapatkan Penasihat Penyediaan Dokumen Harta Sepencarian

Langkah pertama ialah mendapatkan perancang harta Islam yang boleh membantu anda dalam menerangkan konsep harta sepencarian. Perancang harta itu hendaklah tahu perkara asas kaedah pembahagian harta di bawah Hukum Faraid. Ini kerana pembahagian harta di bawah Faraid berkait rapat dengan pembahagian harta di bawah harta sepencarian.

Dari segi turutan, pembahagian harta pencarian hendaklah diselesaikan dahulu sebelum pembahagian harta menurut Faraid.

Perancang Harta harus memberi penerangan yang jelas bagaimana menyediakan dokumen harta sepencarian.

3. Proses Penyediaan Dokumen Harta Sepencarian

(a) Suami-isteri hendaklah menyenaraikan harta yang dimiliki atas nama suami, nama isteri dan pemilik bersama suami-isteri.

(b) Suami-isteri hendaklah bersetuju menentukan senarai harta atas nama isteri sahaja dan atas nama suami sahaja yang hendak dikelaskan sebagai harta sepencarian.

(c) Daripada senarai harta sepencarian itu, suami-isteri hendaklah menentukan peratus harta pencarian yang dibahagikan kepada pasangan masing-masing.

Contoh 1: rumah banglo atas nama suami, dan suami bersetuju membahagikan 50% kepada isteri (baki 50% hak suami).

Contoh 2: Tanah dusun seluas 10 ekar atas nama isteri, dan isteri bersetuju membahagikan 30% kepada suami.

(d) Senarai harta sepencarian di atas akan diserahkan kepada Perancang harta bagi membolehkan Perancang Harta menyediakan deraf Perjanjian Harta Sepencarian untuk disemak oleh suami-isteri.

(e) Perjanjian Harta Sepencarian akan disediakan oleh syarikat di mana Perancang Harta itu bertugas dan ia akan mengandungi maklumat penting berikut:

>>Suami-isteri dengan rela hati menyenaraikan harta spencarian dengan peratus pembahagiannya pada tarikh perjanjian,

>>Perjanjian Harta Sepencarian tidak boleh dibatalkan atau dipinda kecuali ada persetujuan antara suami-isteri,

>>Perjanjian ini mengikat semua pihak, waris dan wasi,

>>Sekiranya suami atau isteri gagal atau enggan mematuhi perkara-perkara yang terkandung dalam Perjanjian ini, maka pihak yang terkilan bolehlah mengambil tindakan undang-undang ke atas pihak yang ingkar itu,

>>Suami-isteri akan menandatangani Perjanjian ini dengan saksi yang cukup

harta sepencarian
Perancang Harta Islam
Untuk nasihat lanjut sila hubungi:
Abd Rahaman Rasid (013-366-1242)
Email: abdrahaman@gmail.com
Perancang Harta Islam
as-Salihin Trustee Berhad

Wednesday, January 6, 2010

Harta Sepencarian

Harta Sepencarian
Harta Sepencarian
Oleh: Abd Rahaman Rasid

1. Isu Harta Sepencarian

Isu tuntutan harta sepencarian kerap didengar apabila berlaku penceraian suami-isteri atau kematian pasangan. Dan kebiasaannya ia melibatkan tuntutan hak-hak isteri kepada bekas suami mereka. Tulisan dalam blog ini sekadar memberi pengetahuan dan kesedaran kepada semua pihak. Blog ini mungkin dapat mencelikkan mata kepada kita semua iaitu betapa pentingnya perancangan harta semasa kita sihat dan hidup.

2. Apa dia Harta Sepencarian?

Harta sepencarian ialah harta yang diperolehi secara bersama-sama oleh suami isteri sepanjang perkahwinan yang sah di mana kedua-dua pihak memberi sumbangan secara langsung atau tidak langsung terhadap perolehan atau pemilikan harta tersebut.

Harta Sepencarian ditakrifkan dalam Seksyen 2 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003 sebagai:

“harta sepencarian” ertinya harta yang diperolehi bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuat kuasa mengikut syaratsyarat yang ditentukan oleh Hukum Syarak;”


3. Konsep Mengenai Harta Sepencarian

Tuntutan harta sepencarian boleh dibuat secara umumnya selepas berlaku penceraian dan kematian.

Professor Ahmad Ibrahim menyebutkan dalam bukunya "Islamic Law in Malaysia" yang diterbitkan pada 1965 oleh Malaysian Sociological Research Institute, pada mukasurat 389 menyatakan bahawa harta sepencarian ialah harta yang diperolehi bersama yang mana kerja yang dilakukan menyebabkan pemilikan bersama; semasa berlaku penceraian atau kematian isteri mempunyai hak terhadap bahagian selain daripada penyelesaian perkara yang lain yang diwajibkan di bawah Undang-Undang Islam.

Di Kelantan, di dalam kes Hajjah Saudah v Hanafi (1990) 8JH 66, Mahkamah Rayuan Syariah memutuskan bahawa perintah tuntutan harta sepencarian boleh dibuat selepas kematian pasangan.


4. Kesah Boto' binti Taha melawan Jaafar bin Muhamed

Dalam kes Boto' binti Taha v Jaafar bin Muhamed (1985) 2 MLJ 98, isteri membuat tuntutan harta sepencarian terhadap bahagian harta (alih dan tak alih) yang dibeli oleh suaminya semasa menjadi nelayan semasa mereka masih menjadi suami isteri. Dalam kes ini, apabila suami menceraikan isteri, Tun Salleh Abas C.J Malaya memutuskan harta alih (iaitu bot nelayan dalam kes ini) juga boleh diletakkan di bawah peruntukan harta sepencarian.

Apa yang dikira sebagai sumbangan boleh dikira sebagai harta sepencarian. Tun Salleh dalam kes Boto' binti Taha memutuskan bahawa walaupun isteri tidak memberikan sumbangan kewangan kepada suami untuk membeli harta-harta tersebut, tetapi isteri telah banyak kali menemani suaminya ketika pergi menangkap ikan di laut. Ini sudah cukup untuk dikira sebagai "sumbangan" dalam membeli harta tersebut apabila berlaku pertikaian.

Tun Salleh dalam keputusannya menyebut: "Sungguhpun isteri itu tidak mengambil bahagian secara langsung dalam perniagaan ikan suaminya, kehadiran isteri menyebabkan ketenangan fikiran suami yang membolehkannya mebnguruskan perniagaannya dengan tenang dan berkesan." Fakta perkahwinan dan apa-apa yang dilakukan dalam perkahwinan itu yang menjadikannya harta-harta itu harta sepencarian.


5. Kes Robert@Kamarulzaman Melawan Ummi Klathum

Dalam kes Robert@Kamarulzaman v Ummi Klathum [1966] MLJ 163, suami ialah seorang askar British yang memeluk agama Islam telah berkahwin dengan wanita Melayu dan telah membeli harta semasa dalam ikatan perkahwinan dan menamakan harta tersebut di bawah nama isterinya. Apabila berlaku perceraian, suami telah menuntut harta tersebut sebagai harta sepencarian. Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa harta itu memang harta sepencarian, walaupun pada masa itu plantif bukanlah seorang Melayu tetapi orang Inggeris yang telah Islam.


6. Pelaksanaan Konsep Harta Sepencarian

Doktrin harta sepencarian telah diberi pengiktirafan oleh semua Mahkamah Syariah di Malaysia. Yang penting ialah penyelesaian tuntutan harta sepencarian akan diselesaikan segera selepas menyempurnakan Wasiat dan sebelum dibuat pembahagian harta mengikut sistem faraid.

7. Perkhidmatan Harta Sepencarian Yang Ditawarkan Oleh Syarikat Amanah as-Salihin

Sudah menjadi kebiasaan bagi benefisiari lain mempertikaikan harta sepencarian setelah kematian suami atau isteri. Untuk mengelakkan masalah ini dan lain-lain masalah yang tidak diingini berlaku, as-Salihin akan menyediakan dokumen Deklarasi Harta Sepencarian yang mampu untuk mengelakkan masalah perbalahan harta sepencarian di masa hadapan.

8. Kebaikan Membuat Deklarasi Harta Sepencarian

(i) Semua pihak khususnya suami isteri boleh berbincang, besetuju dan memutuskan hak serta pembahagian harta sepencarian semasa mereka hidup lagi,

(ii) Dokumen persetujuan harta sepencarian semasa hidup dapat melindungi hak suami isteri,

(iii) Semua pihak khususnya suami-isteri akan berpuas hati mengenai hak harta sepencarian semasa mereka masih hidup lagi.

(iv) Apabila suami- isteri telah membuat pembahagian harta sepencarian semasa hidup (melalui Deklarasi Harta Sepencarian), ia akan mempercepatkan proses pembahagian harta samada selepas penceraian (elakkan perkara ini...sekadar contoh saje) atau selepas kematian iaitu proses pembahagian harta mengikut wasiat atau faraid.

(v) Dengan adanya dokumen pembahagian harta sepencarian, ia dapat menjimatkan masa proses pembahagian harta berbanding tuntutan harta sepencarian selepas berlaku penceraian atau kematian. Ini kerana si penuntut hendaklah membuktikan melalui dokumen, resit dan hujah di depan Hakim bagi menuntut jumlah harta pencarian yang dikehendaki.

(vi) Pembahagian harta sepencarian semasa suami isteri masih hidup akan dapat mengelakkan perbalahan di kemudian hari oleh suami isteri yang telah bercerai tetapi juga ahli-ahli keluarga pihak pasangan terutama apabila salah seorang pasangan meninggal dunia.

Nota: Sebahagian besar daripada maklumat dan fakta dalam artikel ini dipetik daripada Manual Perancangan Harta Islam terbitan as-Salihin Trustee Bhd.

harta sepencarian
Perancang Harta Islam
Untuk nasihat lanjut sila hubungi:
Abd Rahaman Rasid (013-366-1242)
Email: abdrahaman@gmail.com
Perancang Harta Islam
as-Salihin Trustee Berhad

Internet Wealth Report