Harta Sepencarian : Konsep dan Amalan
Pendahuluan
Pada dasarnya, konsep harta sepencarian tidak dibincangkan secara khusus oleh para ulama’. Malah tidak ada sebarang dalil nas yang jelas berkaitannya. Namun para ulama’ telah memberi pelbagai pandangan dalam membicarakan tentang harta sepencarian. Ada yang menyebut ia sebagai “Mata’ al-Bayt” iaitu perkakasan rumah dan ada yang menyebut sebagai “Mal al-Zawjayn” yang bermaksud harta suami isteri.
Apa yang jelas, harta sepencarian tidak boleh dianggap sebagai satu aqad perkongsian (al-Syarikah). Ini kerana harta sepencarian dikuatkuasakan melalui perkongsian hasil suami dan isteri. Walaupun ketika aqad nikah wujud satu bentuk aqad, namun ia tidak boleh dianggap aqad bagi kontrak secara langsung menimbulkan harta sepencarian. Ini kerana, ijab dan qabul tersebut hanyalah bertujuan menghalalkan satu pergaulan antara suami dan isteri sahaja.
Adat Melayu
Jika dilihat sejarah lampau, harta sepencarian telahpun dianggap sebagai satu bentuk adat dalam masyarakat Melayu. Menurut Adat Pepatih, ia disebut sebagai ”carian laki bini”. Misalnya dalam kes Hasmah lwn Jalil, telah diputuskan bahawa harta carian laki bini hendaklah dibahagikan dua antara suami dan isteri apabila berlaku perceraian. Malah jika diamati, sebelum pindaan Perkara 121(1A), kebanyakan keputusan para hakim Inggeris berkaitan harta sepencarian lebih cenderung merujuk kepada pemakaian adat setempat orang Melayu.
Dalam kes Robert lwn Boto’, diputuskan bahawa harta yang menjadi pertikaian dianggap sebagai harta sepencarian dan mahkamah akan membahagikan setiap setengah bahagian jika pihak-pihak bersetuju. Ini adalah berdasarkan kepada anggapan bahawa ia adalah satu adat dan bukannya hukum syarak.
Hukum Syarak
Persoalannya kini, adakah harta sepencarian itu diktiraf oleh hukum syarak? Sepertimana disebut sebelum ini, meskipun harta sepencarian tidak dijelaskan oleh apa-apa dalil nas, namun ulama’ masih lagi memperakuinya berdasarkan konsep uruf (adat) dan maslahah setempat. Ini mengambilkira soal keadilan kedua-dua pihak selaras firman Allah s.w.t dalam Surah An-Nur Ayat 32 menyatakan “orang –orang lelaki beroleh bahagian daripada usahanya dan orang-orang perempuan beroleh bahagian daripada usahanya juga”. Maka apabila sesuatu uruf itu diperakui baik dan sesuai oleh undang-undang kedudukannya, maka ia akan menjadi peraturan yang perlu dipatuhi. Malah ia selaras dengan kaedah fiqh antaranya ialah ”adat yang diakui sebagai hukum” dan juga ”uruf itu diiktibarkan oleh syarak”.
Oleh itu, kini hata sepencarian telahpun dianggap sebahagian daripada undang-undang Islam. Malah Mahkamah Syariah telahpun diberi bidangkuasa khusus dan eksklusif bagi membicarakannya. Ia juga telah diperuntukan dalam semua Enakmen Pentadbiran Keluarga Islam di setiap negeri dan juga dalam Arahan Amalan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM). Misalnya dibawah Seksyen 2 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 “harta sepencarian” ditafsirkan sebagai harta yang diperolehi bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuat kuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum Syarak.
Berdasarkan takrif yang diperuntukan, bolehlah difahami bahawa harta sepencarian termasuklah harta samada harta alih atau tidak alih yang diperoleh suami dan isteri melalui usaha mereka bersama dan bukannya daripada satu pihak sahaja semasa perkahwinan. Harta yang dikumpul selepas perceraian atau kematian tidaklah boleh dianggap sebagai harta sepencarian.
Sumbangan tidak langsung
Namun kini, konsep harta sepencarian telah mula diluaskan termasuk juga harta yang diperoleh suami melalui usahanya sendiri semasa perkahwinan dengan sumbangan secara tidak langsung daripada isteri. Sumbangan tidak langsung bermaksud suatu usaha yang disumbangkan oleh mana-mana pasangan dalam mendapatkan harta itu di mana usaha yang disumbangkan adalah kecil berbanding dengan hasil atau manfaat sumbangan itu yang menghasilkan sesuatu harta yang besar. Ini bermaksud, salah satu pasangan memberi sumbangan secara tidak langsung samaada melalui idea, dorongan, nasihat, keselesaan, ketenteraman dan sebagainya kepada pasangan satu lagi yang berusaha dan berjaya dalam mendapatkan harta itu.
Dalam kes Tengku Anum Zaharah, mahkamah memutuskan bahawa harta yang menjadi pertikaian ialah harta sepencarian hasil daripada sumbangan tidak langsung isteri yang berketurunan berpengaruh. Kesan pengaruh isteri membolehkan suaminya mendapat gelaran Dato’ dan berjaya memajukan perniagaannya.
Tuntutan
Bagi tuntutan harta sepencarian di Mahkamah Syariah, ia boleh dilaksanakan dalam tiga keadaan iaitu tuntutan selepas perceraian, tuntutan semasa perkahwinan dan juga tuntutan selepas kematian. Bagi tuntutan selepas perceraian, Seksyen 122 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003 misalnya memperuntukkan bahawa mahkamah mempunyai bidang kuasa untuk memerintahkan pembahagian harta sepencarian apabila mahkamah itu membenarkan lafaz cerai atau perintah perceraian. Oleh itu, mahkamah hanya berbidangkuasa membicarakan kes harta sepencarian di mahkamah di negeri di mana perceraian berlaku dan didaftarkan. Tuntutan harta sepencarian juga boleh dibuat semasa tempoh perkahwinan.
Seksyen 23(10)(b) memperuntukan bahawa isteri boleh memohon perintah daripada mahkamah supaya diadakan terlebih dahulu pembahagian harta sepencarian sebelum permohonan poligami disahkan. Malah Seksyen 119(11) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Sembilan 2003 menyebut bahawa sebelum Mahkamah mengesahkan keluar agama, satu perintah untuk membahagikan harta sepencarian hendaklah dilaksanakan. Kedua-dua peruntukan tersebut berkaitan dengan permohonan poligami dan juga keluar agama Islam.
Bagi tuntutan selepas kematian, meskipun tiada peruntukan khusus yang membolehkan mahkamah membahagikan harta sepencarian sekiranya akibat kematian, namun fatwa negeri Selangor menjelaskan bahawa jika berlaku kematian, maka pihak yang hidup boleh memohon pengisytiharan harta sepencarian sebelum harta itu menjadi harta pusaka. Jadi pihak itu perlu membuktikan bahawa sebahagian harta itu adalah harta sepencarian.
Penyelesaian
Kaedah penyelesaian apabila melibatkan harta sepencarian ialah melalui kaedah sulh iaitu dengan cara berdamai samada melalui pengakuan dan penyerahan hak pemilikan kepada satu pihak lagi atau nilai harta yang dipersetujui dibahagi mengikut persetujuan. Persetujuan ini boleh dibuat samaada di luar mahkamah atau di hadapan pegawai sulh dan kemudian ianya akan diendors sebagai satu perintah oleh mahkamah. Kaedah lain adalah melalui persetujuan semasa perbicaraan sedang berlangsung.
Hakim kebiasaannya akan memberi peluang kepada kdua-dua pihak untuk mencapai persetujuan bersama. Maka persetujuan ini akan diendors sebagai satu perintah Mahkamah. Sekiranya kedua-dua kaedah tersebut tidak dapat menyelesaikan pertikaian, maka mahkamah akan meneliti setiap keterangan dan penghujahan pihak-pihak. Seterusnya mahkamah akan memutuskan pembahagian harta sepencarian tersebut melalui perintah mahkamah.
Sumber: Laman Web Jabatan Kehakiman Syariah Pulau Pinang
Untuk nasihat lanjut sila hubungi:
Abd Rahaman Rasid (013 366 1242)
abdrahaman@gmail.com
Perancang Harta Islam
as-Salihin Trustee Berhad
Internet Wealth Report
9 comments:
Salam. Minta penjelasan sekiranya rumah yang di beli atas 2 nama (suami & isteri) dan pembayaran downpayment juga dikongsi, tapi kemudian bayaran bulanan hanya isteri yang membayar sehingga berlaku perceraian. Adakah pihak suami ada hak atas harta sepencarian (rumah) ini?
terima kasih..
Nama suami dah ada dalam geran. Jadi hak suami memang dah ada. Tak ada isu harta sepencarian lagi. Siapa bayar down payment atau puan bayar semua ansuran, bukan isu. Isu harta pencarian timbul,apabila seseorang hendakkan haknya sedangkan nama dia tidak ada dlm pemilikan harta.
Salam. Ibu saya telah meninggal dunia. Ayah mempunyai sebuah rumah yang diduduki nya sehingga kini (rumah atas nama ayah). Boleh kah saudara sebelah ibu menuntut harta sepencarian ke atas rumah tersebut?
Harta sepencarian berkaitan antara suami-isteri sahaja. Jadi orang lain pada dasarnya tidak berkaitan dengan harta sepencarian.
Salam. Terima Kasih.
salam.
tumpang tanya, kereta & rumah atas nama suami, & suami yg bayar semua ansuran kerana isteri tidak bekerja..boleh ke ini dikira sbg harta sepencarian juga..isteri ada hak atau tidak?
terima kasih
Fasal kereta dan terutamanya rumah, itu terpulang kepada isteri samada hendak menuntut atau tidak. Ini kerana ia bukan hukum Islam tetapi amalan bangsa Melayu tetapi telah diterima oleh masyarakat dan boleh dibawa ke mahkamah. Kalau isteri yang cerdik, beliau tentu meminta namanya dimasukkan dalam geran. Tapi jika nama isteri takda dalam geran, isteri harus mendesak suami membuat perjanjian harta sepencarian. Jadi kalau suami mati dulu, bercerai atau kahwin dua atau tiga, maka isteri pertama tadi tetap mendapat harta sepencarian, katakan 50% daripada nilai rumah. Banyak isteri tak kesah hak mereka kerana "ku sangka panas sampai ke petang rupanya hujan di tengah hari".
artikel yang bagus cuma dalil naqli minta diperbetulkan bukan An-Nur ayat 32, tapi An-Nisaa': 32.
bapa yg teraniya
as salam.sy ingin bertanya,rumah tersebut adalah nama kami berdua.penjanjian di bank pun nama kami berdua.tetapi sy ingin menuntut harta sepencarian kerana bekas isteri masih menduduki rumah tersebut dgn alasan dia yang membayar rumah tersebut dari mula hinga sekarang. masalah nya anak2 di bawah jagaan sy. dan sy terpaksa menyewa rumah utk kami 4 beranak berteduh.sy tidak puas hati krn rumah tersebut adalah nama kami berdua dan dia xmahu menjual atau memberikan rumah tersebut kpd sy agar menyambung byr semula. semasa di sulh sy de memberi cadangan agar rumah tersebut di jual & dibahagi sama rata. adakah hak sy ada atau sebaliknya krn selama 4 thn rumah tersebut dibyr oleh bekas isteri.
Post a Comment